Objektif kursus ini ialah untuk menyediakan pengetahuan terperinci dalam bidang reka bentuk kejuruteraan mekanikal di peringkat lanjutan. Kursus ini meliputi skop berikut: Pengenalan kepada reka bentuk kejuruteraan mekanikal dan komunikasi dalam reka bentuk, proses dan kaedah reka bentuk, pembangunan spesifikasi reka bentuk, pembangunan reka bentuk konsep, proses membuat keputusan, reka bentuk terperinci, reka bentuk penjelmaan, analisis kejuruteraan menerusi kaedah analitik dan permodelan/simulasi, pemilihan dan pemprosesan bahan, pengoptimuman reka bentuk, analisis risiko dan keboleharapan, reka bentuk lasak dan kualiti, penilaian kos, perundangan dan etika dalam reka bentuk, dan penghasilan prototaip. Analisis kejuruteraan mekanikal ke arah kefungsian produk/sistem adalah keutamaan. Satu projek reka bentuk utama yang berkaitan dengan mana-mana produk/sistem berasaskan kejuruteraan diberikan kepada pelajar sebagai aktiviti reka bentuk berkumpulan. Kursus ini turut memberi pendedahan terhadap penyelidikan dan trend terkini dalam bidang yang dipelajari.