LATIIHAN IKHTISAS PERIODONTIK (PERIODONTICS SPECIALTY TRAINING)
Kursus ini bertujuan menyediakan siswazah dengan pengetahuan saintifik, prinsip-prinsip teknik biomekanik yang diperlukan untuk menguruskan kes-kes periodontal daripada yang mudah kepada yang kompleks. Sesi klinikal yang direka untuk mendedahkan siswazah kepada pengalaman klinikal dalam diagnosis dan rawatan pesakit yang pelbagai termasuk rawatan bukan pembedahan dan pembedahan yang terkini dan termaju. Topik-topik akan meliputi pengendalian tisu periodontium, resesi gingiva, penglibatan cabangan akar, trauma dan masalah oklusi, estetik dan implantologi. Pembelajaran di luar klinik termasuk pembentangan kes pesakit yang didiagnosa dan dirawat bersama pakar-pakar periodontik, pergigian restoratif, pediatrik, ortodontik, bedah mulut dan perubatan mulut untuk melatih siswazah kemahiran menyediakan diagnosis bersepadu yang komprehensif, perancangan rawatan dan rawatan masalah pergigian yang memerlukan pendekatan pelbagai disiplin dan pengendalian kes yang mempunyai masalah. Perbincangan lain juga dilakukan dalam sesi ‘perundingan sisi klinik’ dengan pengajar dari kepakaran pergigian yang berlainan diadakan melalui seminar bersama, klinik pengajaran / perundingan dan sesi rawatan. Siswazah juga dikehendaki mengambil bahagian secara aktif dalam Kelab Jurnal dan Seminar Pembentangan Kes Klinikal sebagai ahli pada mulanya dan kemudian sebagai pembentang yang akan mengetuai perbincangan mengenai topik terpilih dengan bimbingan Penyelia Klinikal dari perbagai bidang yang berkaitan. Kursus ini merupakan sebahagian daripada latihan aspek pengajaran-pembelajaran periodontologi; sebagai bakal pakar periodontik, siswazah dilatih untuk menghargai kemahiran pembelajaran melalui pengajaran kepada pesakit, masyarakat serta ahli pasukan pergigian yang dijalankan melalui syarahan, seminar, penyeliaan klinikal dan latihan amali pelajar pergigian prasiswazah dalam disiplin Periodontologi.